Mengenali
penulisan Zaid Akhtar terlebih dahulu dengan Salju Sakinah, aku kemudiannya
mengetahui kewujudan Sesegar Nailofar sebagai novel tulisan pertamanya melalui
Goodreads. Alhamdulillah, kunjungan ke kedai buku Sabtu lepas menemukan aku
dengan novel ini yang telah diberi kulit muka depan yang baru. Cantik kulit
muka depannya.
Kekuatan
Watak Iqbal yang ditonjolkan penulis
lain benar dengan watak utama yang ditonjolkan oleh novel-novel yang lain. Berbanding
watak utama yang direka dengan kesempurnaan fizikalnya seperti kulit putih
melepak, hidung mancung, tubuh badan sasa dan tinggi dan kadang kala berdarah
kacukan, watak Iqbal tidak dikiaskan sebegitu rupa. Karisma Iqbal sebagai watak
utama dipandang kerana kewibawaanya sebagai seorang pelajar yang sentiasa
dahagakan dan memuliakan ilmu, kebolehannya berorganisasi dengan baik, berukhuwah
antara sesama sahabat dengan mesra dan banyak lagi nilai murni yang boleh
dicontohi daripada wataknya. Namun begitu, penulis tidak menjadikan watak Iqbal
sempurna 100%. Iqbal juga seperti manusia lain apabila cinta menjenguk. Kadang-kadang
datang lintasan, namun bagaimana Iqbal menanganinya membuatkan jalan ceritanya
menarik dan mendidik hati pembaca untuk mencontohi Iqbal.
Babak yang menarik pada aku adalah
sewaktu rumah Darul Hawarriyin didatangi anggota polis apabila ada mata-mata
melaporkan bahawa mereka ada menyorokkan ahli HAMAS dan waktu Iqbal dilokap
hanya semata-mata memiliki majalah pro-HAMAS. Prinsipnya untuk bercakap benar,
berbohong tidak sama sekali dan riwayat yang diceritakan penulis berkenaan Hasan
Al-Basri dan Syeikh Habib juga mendidik pembaca tentang keberkatan bercakap
benar.
Kosa kata yang pelbagai dan lenggok
bahasa tulisan Zaid Akhtar juga menarik. Hal yang sama aku sedari waktu terlebih
dahulu membaca Salju Sakinah beberapa tahun lepas. Kosa katanya jarang atau
tidak pernah aku baca atau dengar sebelum ini. Namun begitu, ianya tidak
menjadi satu halangan untuk aku menikmati pembacaan ini. Istilah-istilah Arab
juga banyak digunakan. Mungkin bagi memudahkan imaginasi pembaca untuk
membayangkan suasana Iqbal di negara Timur Tengah dan juga sedang dalam pengajian Bahasa Arab. Jangan risau,
seperti biasa glosari disediakan di muka surat akhirnya.
Kelemahan
Aku sedikit kecewa apabila mengetahui
bahawa Nailofar itu ialah sebenarnya Hazwani. Mungkin disebabkan jawapan itu biasa
saja diduga disebabkan banyaknya petunjuk yang diberikan penulis dalam
babak-babak sebelumnya bahawa Hazwani ada menaruh perasaan terhadap Iqbal. Aku mengharapkan
mungkin adanya watak baru atau watak yang tidak disangka-sangka yang menjadi
Nailofar itu. Pada aku, teka-teki siapa seorang Nailofar itu seakan-akan kurang
perasanya apabila petunjuk diberi sebegitu banyak.
Babak flashback atau babak seterusnya tidak ditanda dengan apa-apa atau
tidak diselang. Memang menjadi kebiasaan untuk sebuah novel menanda *** atau apa-apa
tanda, selang beberapa baris ke bawah atau mungkin hanya membuat perkataan
pertama perenggan baru untuk babak seterusnya dengan bold. Mungkin pihak-pihak
berkenaan perlu mengubah suai pada cetakan-cetakan seterusnya supaya para
pembaca seperti aku tidak perlu tiba-tiba berhenti memikir sejenak sama ada
perenggan yang dibaca selepas ini merupakan babak lain atau babak flashback.
Antara buku
yang aku syorkan untuk dimasukkan dalam senarai bacaan 2015 anda semua.
Selamat
membaca!