Thursday 22 January 2015

Filem - Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck - Apa yang tiada di filemnya


Aku lebih berminat untuk menghasilkan entri ini. Sebabnya, aku merasakan jika elemen-elemen yang bakal aku huraikan ini akan menghasilkan filemnya yang lebih mengharukan dan lebih sampai ke hati. Elemen-elemen di bawah ini sebenarnya babak yang terdapat dalam novelnya tetapi tiada di dalam filemnya. Poyo dan bajet bunyinya tapi ya, ini cuma pandangan aku. 

1. Teguran Zainuddin kepada Hayati berkenaan pakaiannya.

Kalau dibaca pada novel dan juga ditonton filemnya, Khadijah "mendoktrin" Hayati untuk memakai pakaian yang katanya lebih "kemodenan". Pakaian yang dipakai oleh penjajah mereka ketika itu iaitu Belanda. Pakaian yang singkat dan terbuka. Sesi pendoktrinan Khadijah berhasil apabila Hayati hadir ke acara pacuan kuda itu dengan pakaian "moden" tersebut. Diceritakan dalam novelnya, walaupun pada mulanya Hayati tidak senang dan tidak selesa memakai pakaian itu kerana dirasakan orang ramai lebih memandangnya, tetapi dia bertukar terbiasa tatkala melihat ramai lagi perempuan-perempuan lain yang hadir ke acara pacuan kuda itu berpakaian sebegitu.

Kalau kita tonton filemnya, Zainudin jelas terperanjat dengan penampilan Hayati yang jelas terbuka dan tidak seperti gadis minang desa yang dikenalinya di Batipuh dahulu. Seperti dii dalam novelnya, Zainudin setelah itu akan mengirimkan sepucuk surat menegur tentang cara pemakaian Hayati yang bertukar. Pada aku, ini seharusnya menjadi satu babak dalam filemnya kerana ianya lebih mengangkat tema cinta suci Zainudin kepada Hayati. Babak ini juga lebih menonjolkan sisi melindungi Zainudin kepada kesucian diri Hayati. 

Memetik ayat novelnya, Hamka menulis bahawa falsafah bercinta antara lelaki dan perempuan itu berbeza. Pada seorang lelaki, apabila dia jatuh cinta kepada seorang perempuan, maka perempuan itu ialah haknya seorang dan tidak boleh dikongsi dengan orang-orang lain. Kemulian dan kesucian perempuan itu hanya layak ditunjukkan kepadanya seorang sahaja. Andai perempuan yang dicintainya direndahkan, malah itu akan membuatkan lelaki itu lebih cinta kepada perempuannya.

Oleh itu, demi menjaga maruah, kesopanan, kesucian dan kemuliaan diri Hayati, Zainudin menegur cara pemakaiannya yang jauh lebih terbuka dan terdedah sewaktu menghadiri acara pacuan kuda tersebut. Pada aku, itu salah satu makna cinta suci antara lelaki dan perempuan. Saling melindungi, saling menjaga antara satu sama lain dan saling menegur dalam membetulkan kesilapan masing-masing.

2, Bolak-balik Hayati pada cinta Zainuddin.

Babak bolak-balik ini tidak begitu ditonjolkan dengan mendalam dalam filemnya. Pada pendapat aku, seharusnya bahagian ini ditekankan untuk menunjukkan cinta suci Hayati kepada Zainuddin yang semakin berubah kepada kecintaannya kepada harta dan kemewahan. Mungkin tidak boleh dikatakan berubah kerana hakikatnya dia masih cinta pada Zainuddin tetapi cuma keliru sama ada boleh atau tidak dia hidup dengan semata-mata cinta suci sahaja. Dalam filem ini, kita lebih nampak bahawa Hayati mungkin memilih Aziz berbanding Zainuddin disebabkan oleh tekanan daripada orang-orang tua pemegang adat minangkabaunya. Hayati juga seperti malu dengan penampilan Zainudin yang berpakaian seperti orang mengaji ke acara pacuan kuda. Hanya itu dan tak mungkin itu sahaja sudah merubah rasa cintanya kepada Zainudin.

Tetapi kalau dibaca novelnya, Hayati lebih terusik dengan kata-kata hasutan daripada Khadijah untuk Hayati memilih abangnya daripada Zainuddin. Surat dan kata-kata Khadijah merupakan antara perkara yang perlu ditekankan dalam perubahan cinta Hayati kepada Zainudin. Khadijah membanding-bandingkan cinta suci semata dengan Zainudin berbanding dengan wang dan kemewahan yang mampu abangnya tawarkan kepada Hayati.

Katanya, Hayati mungkin akan biasa-biasa sahaja apabila memakai baju biasa, memiliki rumah biasa-biasa apabila hidup berdua dengan Zainudin, Tetapi lama-lama nanti, dia akan menyesali dan menyalahkan Zainudin apabila melihat mata-mata orang lain yang memandang mereka dengan pandangan kesian. Dalam suratnya kepada Hayati, Khadijah mengatakan bahawa Zainudin itu ahli syair, penuh dengan angan-angan. Zainudin cuma suka pada Hayati kerana membayangkan Hayati seperti bidadari yang cantik yang hanya akan diukirnya di dalam karya-karyanya. Andai Hayati bersama dengan Zainudin nanti, Zainudin mesti akan hilang kecintaannya kepada Hayati apabila dia tahu bahawa Hayati juga tidak lepas berbuat khilaf dan kesalahan, tidak sesempurna bidadari yang dibayangkannya lewat karya dan syairnya.

Hasutan ini seringkali bermain dalam fikiran Hayati diselang seli dengan pandangan sosok Zainudin yang terlihat kesian. Oleh sebab itu, dalam suratnya yang dihantar kepada Zainudin untuk membuang perasaan cinta itu dan hanya bersahabat, Hayati menyebutkan bahawa dia dan Zainudin, dua-duanya miskin dan hidup melarat. Oleh itu, ianya tidak cukup untuk menegakkan rumahtangga.

Ya, macam yang aku beritahu seperti di atas, dua-dua babak ini, seandainya dimasukkan dan ditekankan dalam filemnya, insya ALLAH, lagi sampai ke hati-hati penonton. Terutamanya akulah sebab aku yang mencadangkannya. Haha. Selamat menonton dan selamat memaknakan cinta sejati!



No comments:

Post a Comment