Thursday 16 April 2015

Book Review : Sesegar Nailofar (Zaid Akhtar)



Mengenali penulisan Zaid Akhtar terlebih dahulu dengan Salju Sakinah, aku kemudiannya mengetahui kewujudan Sesegar Nailofar sebagai novel tulisan pertamanya melalui Goodreads. Alhamdulillah, kunjungan ke kedai buku Sabtu lepas menemukan aku dengan novel ini yang telah diberi kulit muka depan yang baru. Cantik kulit muka depannya.

Kekuatan

Watak Iqbal yang ditonjolkan penulis lain benar dengan watak utama yang ditonjolkan oleh novel-novel yang lain. Berbanding watak utama yang direka dengan kesempurnaan fizikalnya seperti kulit putih melepak, hidung mancung, tubuh badan sasa dan tinggi dan kadang kala berdarah kacukan, watak Iqbal tidak dikiaskan sebegitu rupa. Karisma Iqbal sebagai watak utama dipandang kerana kewibawaanya sebagai seorang pelajar yang sentiasa dahagakan dan memuliakan ilmu, kebolehannya berorganisasi dengan baik, berukhuwah antara sesama sahabat dengan mesra dan banyak lagi nilai murni yang boleh dicontohi daripada wataknya. Namun begitu, penulis tidak menjadikan watak Iqbal sempurna 100%. Iqbal juga seperti manusia lain apabila cinta menjenguk. Kadang-kadang datang lintasan, namun bagaimana Iqbal menanganinya membuatkan jalan ceritanya menarik dan mendidik hati pembaca untuk mencontohi Iqbal.

Babak yang menarik pada aku adalah sewaktu rumah Darul Hawarriyin didatangi anggota polis apabila ada mata-mata melaporkan bahawa mereka ada menyorokkan ahli HAMAS dan waktu Iqbal dilokap hanya semata-mata memiliki majalah pro-HAMAS. Prinsipnya untuk bercakap benar, berbohong tidak sama sekali dan riwayat yang diceritakan penulis berkenaan Hasan Al-Basri dan Syeikh Habib juga mendidik pembaca tentang keberkatan bercakap benar.

Kosa kata yang pelbagai dan lenggok bahasa tulisan Zaid Akhtar juga menarik. Hal yang sama aku sedari waktu terlebih dahulu membaca Salju Sakinah beberapa tahun lepas. Kosa katanya jarang atau tidak pernah aku baca atau dengar sebelum ini. Namun begitu, ianya tidak menjadi satu halangan untuk aku menikmati pembacaan ini. Istilah-istilah Arab juga banyak digunakan. Mungkin bagi memudahkan imaginasi pembaca untuk membayangkan suasana Iqbal di negara Timur Tengah dan juga  sedang dalam pengajian Bahasa Arab. Jangan risau, seperti biasa glosari disediakan di muka surat akhirnya.

Kelemahan

Aku sedikit kecewa apabila mengetahui bahawa Nailofar itu ialah sebenarnya Hazwani. Mungkin disebabkan jawapan itu biasa saja diduga disebabkan banyaknya petunjuk yang diberikan penulis dalam babak-babak sebelumnya bahawa Hazwani ada menaruh perasaan terhadap Iqbal. Aku mengharapkan mungkin adanya watak baru atau watak yang tidak disangka-sangka yang menjadi Nailofar itu. Pada aku, teka-teki siapa seorang Nailofar itu seakan-akan kurang perasanya apabila petunjuk diberi sebegitu banyak.

Babak flashback atau babak seterusnya tidak ditanda dengan apa-apa atau tidak diselang. Memang menjadi kebiasaan untuk sebuah novel menanda *** atau apa-apa tanda, selang beberapa baris ke bawah atau mungkin hanya membuat perkataan pertama perenggan baru untuk babak seterusnya dengan bold. Mungkin pihak-pihak berkenaan perlu mengubah suai pada cetakan-cetakan seterusnya supaya para pembaca seperti aku tidak perlu tiba-tiba berhenti memikir sejenak sama ada perenggan yang dibaca selepas ini merupakan babak lain atau  babak flashback.

Antara buku yang aku syorkan untuk dimasukkan dalam senarai bacaan 2015 anda semua.

Selamat membaca!